Wednesday, September 7, 2016

BOLEH KE AGIH SENDIRI?

Pada bulan Ramadhan yang lalu timbul saranan oleh beberapa pihak melalui media sosial supaya masyarakat Islam mengagihkan bayaran zakat terus kepada penerima tanpa perlu melalui agensi-agensi agama Islam yang telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan zakat. Polemik ini timbul kerana kemungkinan kepercayaan terhadap sesetengah agensi ini mula pudar akibat beberapa isu terpencil yang diketengahkan oleh pihak-pihak yang mungkin ada matlamat mereka masing-masing.
 
Di kesempatan ini ingin berkongsi pandangan berkaitan isu tersebut berdasarkan pemerhatian cetek yang mungkin boleh dijadikan sedikit rujukan tetapi masih boleh diperdebatkan dan ditambahbaik. Pandangan ini bukanlah melalui ilmu dalam bidang pangajian Islam kerana bukanlah arif dalam bidang ini tetapi lebih kepada bidang pengurusan zakat yang diberikan sedikit kesempatan untuk terlibat secara langsung sebelum ini.
 
Dari segi fatwa pihak Mufti  pernah mengeluarkan fatwa bahawa bayaran zakat secara terus kepada penerima hukumnya harus. Walau bagaimanapun ia boleh menjadi berdosa kerana mengingkari arahan 'Ulil Amri' (pemerintah) sedangkan mematuhi arahan pemerintah dalam soal ketaatan adalah wajib di sisi Islam (rujuk keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bab Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian tahun 2006).
 
Berdasarkan Surah at-Taubah ayat 60 terdapat 8 golongan asnaf yang layak untuk menerima zakat iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, fisabilillah, riqab (pembebasan hamba abdi), gharimin (orang yang berhutang) dan ibnu sabil (musafir). Pengertian setiap asnaf ini boleh dirujuk kepada fatwa negeri-negeri dan buku panduan yang pernah dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Jawapan kepada persoalan kenapa zakat perlu diagihkan melalui agensi zakat adalah seperti berikut:
 
1. Pengagihan Antara Asnaf Zakat Lebih Adil Mengikut Keperluan.
 
Berdasarkan senarai asnaf yang layak menerima zakat, kita dapat lihat bahawa dana zakat ini boleh diagihkan kepada pelbagai asnaf-asnaf yang layak. Cuma ingin diajukan satu persoalan sekiranya ada pihak berhasrat untuk mengagihkan zakat secara sendiri berapa banyakkah sasaran agihan yang boleh dicari berdasarkan 7 asnaf yang disenaraikan selain amil? Diyakini majoriti hanya akan tertumpu kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf. Oleh itu akan berlaku kejadian di mana dana zakat hanya tertumpu kepada beberapa asnaf tertentu sahaja. Sedangkan asnaf-asnaf yang lain mungkin akan terabai. Adakah ini adil? Adil di sini bukanlah bermaksud sama rata tetapi diagihkan mengikut keperluan asnaf-asnaf berkenaan. Sebagai contoh Majlis Agama Islam Negeri akan menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah untuk tujuan pembangunan dan pengurusan masjid-masjid dan surau-surau, pembangunan dan pengurusan sekolah-sekolah agama dan sebagainya. Sekiranya dana zakat telah diagihkan terus kepada asnaf zakat tertentu sahaja secara terus maka dana yang sebelum ini digunakan untuk asnaf fisabilillah akan berkurangan.
 
Kita biasa dengar bahawa dana untuk keperluan sebahagian asnaf fisabilillah boleh dipohon daripada kerajaan. Pandangan ini tidak berapa tepat kerana pada ianya akan menjadi lebih afdal dan bermaruah sekiranya perkara-perkara sedemikian sumbernya datang daripada umat Islam sendiri. Kita agak beruntung kerana berada dalam negara yang mana Islam itu menjadi agama rasmi. Maka kerajaan masih bertanggungjawab menyediakan peruntukan-peruntukan untuk tujuan pembangunan dan pengurusan agama Islam sama ada secara langsung atau tidak. Walau bagaimanapun perkara ini tidaklah boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berdikari. Kadang-kadang kita juga kena lihat rakan-rakan kita yang berada di Negara-Negara minoriti Islam seperti di Singapura. Tahap kebergantungan kepada kerajaan agak minima dan mereka lebih berdikari. Oleh itu sangat penting wujudnya satu sistem pengurusan zakat yang cekap dan sitematik bagi menjamin masa depan Islam yang terbaik dan disegani.
 
2. Asnaf Amil
 
Berdasarkan Al-Quran salah satu asnaf yang layak adalah asnaf amil. Pernah ke kita terfikir kenapa Allah menetapkan sedemikian..sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Tetapi di sini terdapat isyarat kepada kita bahawa betapa pentingnya satu pihak yang mengurus dan mentadbir urusan zakat ini sama ada urusan mengutip atau mengagihkan sehinggakan amil ini diberikan kelayakan untuk mengambil upah daripada sebahagian dana zakat. Oleh itu pengujudan sebuah institusi yang mentadbir dan menguruskan zakat amatlah penting. Institusi ini mestilah benar-benar berupaya untuk melaksanakan tugasan ini bagi memastikan matlamat zakat itu dicapai. Berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri yang menetapkan bahawa hanya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sahaja diberi kuasa untuk mengutip dan mengagihkan zakat amatlah tepat sekali kerana institusi ini mempunyai struktur pentadbiran yang teratur dan telus. Sebarang keputusan perlu dibincangkan dalam Mesyuarat MAIN yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing termasuk ahli agama dan dipersetujui. Seterusnya keputusan ini akan diangkat kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atau Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja untuk diperkenankan. Setiap tahun Penyata Kewangan MAIM akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan seterusnya dibentangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Dewan Undangan Negeri. Bagi wilayah persekutuan Penyata Kewangannya dibentangkan ke kabinet dan parlimen. Kebanyakan MAIN telah mewujudkan perbadanan atau anak syarikat yang ditugaskan khusus untuk mengutip atau mengagihkan zakat bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan zakat.
 
Di sini menunjukkan bahawa sistem proses kerja yang perlu dipatuhi oleh pihak pengurusan MAIN cukup teliti bagi memastikan agensi ini sentiasa bersih, berintergriti dan dapat melaksanakan amanat yang telah diberikan oleh umat Islam di negeri masing-masing. Walau bagaimanapun pihak MAIN masih menerima tohmahan daripada pihak tertentu yang mempertikaikan kredibiliti institusi ini yang ditimbulkan untuk tujuan tertentu. Kadang-kadang kemusykilan timbul apabila ada pihak lebih mempercayai pihak lain untuk mengutip dan mengagihkan zakat mereka sedangkan struktur organisasi pihak tersebut tidak dapat diterangkan dengan jelas. Apatah lagi apabila dana zakat diagihkan sendiri. Adakah kita mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam menentukan sama ada seseorang itu layak menerima zakat atau tidak?
 
3. Penetapan Kelayakan Penerima Zakat
 
Setiap negeri telah menetapkan pelbagai jenis skim bantuan zakat mengikut kesesuaian dan keperluan kawasan masing-masing. Mereka mewujudkan beberapa jawatankuasa yang bertanggungjawab meneliti dan mempertimbangkan permohonan-permohonan dana zakat. Terdapat juga pegawai-pegawai yang berkelayakan diberi kuasa untuk memutuskan sebarang permohonan berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan. Pelbagai mekanisma telah diwujudkan oleh MAIN untuk mengagihkan zakat sama ada secara bulanan ataupun mengikut tempoh-tempoh tertentu. Usaha mencari orang-orang yang layak menerima zakat ini juga dilaksanakan melalui pelbagai cara termasuk mewujudkan skuad jejak asnaf dan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin tempatan. Jabatan Mufti sentiasa memantau dari semasa ke semasa perjalanan pengurusan zakat bagi memastikan ianya mematuhi kehendak yang ditetapkan oleh syarak.
 
Oleh yang demikian masyarakat perlu menyiasat dan mengkaji sedalamnya jika ada pihak yang menyatakan bahawa mereka boleh menguruskan zakat lebih baik daripada MAIN. Adakah mereka boleh menyediakan pasukan dan sistem pengurusan yang lebih baik seperti yang dinyatakan tadi? Sejak mutakhir ini beberapa MAIN telah melonggarkan sedikit kaedah pengagihan zakat dengan memberikan sebahagian kutipan zakat yang dibayar oleh agensi tertentu untuk diagihkan sendiri oleh agensi pembayar berdasarkan garis panduan dan peraturan yang diberikan. Ini bagi menyesuaikan dengan permintaan semasa dan menjadikan galakan kepada agensi lain untuk membayar zakat.
 
KESIMPULAN: Secara rumusannya pembayaran zakat melalui MAIN di negeri-negeri lebih memberi kebaikan jika kita mengagihkan sendiri ataupun dibayar melalui pihak-pihak lain yang tidak diiktiraf. Jika kita bandingkan dengan Negara-Negara lain di dunia, pengurusan zakat di Malaysia adalah yang terbaik. Umat Islam di Negara-Negara lain tidak dapat melaksanakan sistem sepertimana yang kita amalkan kerana pelbagai kekadangan. Mereka sentiasa melihat Malaysia merupakan Negara yang terbaik dari segi pengurusan Islam untuk dicontohi. Agak malang jika ada penduduk Malaysia sendiri tidak mempercayai apa yang ada di sini. Tidak dinafikan masih banyak ruang dalam institusi Islam boleh diperbaiki bagi memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran Islam. Akhirnya apa yang dinyatakan ini hanyalah pandangan peribadi dan masih ada ruang untuk dikaji secara positif. Jika maklumat ini baik maka tiada halangan untuk digunakan kepada kebaikan kerana segalanya milik Allah. Wallahualam..wassalam.